~NIZ4M : INSIDE MY HEAD~

“BAIK PUNYA BLOG”

Bekas pembantu rumah jadi Menteri di Brazil April 20, 2008

Filed under: Uncategorized — Urahara Kisuke @ 11:39 pm

Marina Silva miskin, pernah buta huruf bukti kegigihan wanita

BUTA huruf, miskin, pernah bertugas sebagai pembantu rumah, mengambil upah menjahit, menoreh getah, menghidap hepatitis dan tinggal jauh di pelosok pedalaman yang serba serbi amat kekurangan.

Ini semua ciri-ciri yang pastinya dilihat segelintir masyarakat sebagai resipi seorang individu gagal yang tidak mungkin dapat menikmati kejayaan, jauh sekali bergelar Menteri.

Namun, itulah pengalaman pahit yang mendewasakan seorang wanita Brazil, Marina Silva yang bertatih daripada seorang buta huruf kepada celik, ke menara gading, sebagai aktivis dan seterusnya bergelar Menteri Alam Sekitar Brazil.

Lebih membanggakan, pemilik nama asal Marina Silva Vaz de Lima yang kini berusia 50 tahun, dapat pula berkongsi anugerah berprestij alam sekitar dunia yang dimenangi bersama bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore di atas usaha mereka menyelamatkan alam sekitar, baru-baru ini.

Kisah unik Marina yang tidak ubah seperti telenovela � kehilangan ibu pada usia 14 tahun, diuliti kemiskinan sehingga pernah berlapar sehari semalam kerana tiada makanan, bergelut sebagai pembantu rumah mungkin asing bagi kita, tetapi di Brazil, Marina dianggap wira.

Bagaimanakah wanita sepertinya mampu menjadi Menteri � jawatan yang lazimnya dikaitkan dengan faktor seperti berlatar belakang keluarga kaya dan berpengaruh, khususnya di negara Amerika Latin?

“Kehidupan saya amat susah. Saya dilahirkan di kawasan ceruk di pedalaman hutan Amazon. Bapa hanya bertugas sebagai penoreh getah,” kata Marina dalam satu temubual dengan media asing, baru-baru ini.

Kesengsaraan diuliti kemiskinan itu turut menyaksikannya kematian dua adik kesayangan. Enam bulan kemudian, ajal menjemput ibunya dan seterusnya, adik lelakinya.

Marina terbiar, terumbang ambing, sunyi dan tidak pernah mengenali maksud di sebalik abjad kerana keadaannya yang buta huruf.

Ini menyebabkannya tidak pernah menaruh harapan tinggi dalam hidup, jauh sekali menjadi ahli politik popular.

“Ketika saya membesar, mereka yang bekerja dengan kerajaan lazimnya berasal dari keluarga berada. Saya sebaliknya hanyalah anak seorang penoreh getah dan menjadi penjawat awam amat mustahil. Impian saya cuma satu, iaitu agar celik huruf.”

Atas alasan itu, Marina berasa kagum setiap kali melihat mulut ayahnya terkumat-kamit membaca buku.

“Saya amat kagum bagaimana orang mampu meluahkan apa yang mereka lihat di atas kertas. Saya mahu membaca supaya dapat berbakti sebagai guru untuk membantu yang lain.”

Marina sedar, hanya satu jalan untuknya keluar daripada kemelut sebagai buta huruf. Beliau perlu ke bandar Rio Branco dengan mengikuti kelas celik huruf khusus bagi golongan dewasa.

Berkat kesungguhannya, Marina yang berusia 17 tahun ketika itu, akhirnya boleh menulis dan membaca dalam masa 15 hari. Beliau melipat gandakan usahanya dengan menjadikan buku sebagai kawan yang membawanya ke Universiti Persekutuan di Acre dan memperoleh ijazah sarjana muda sejarah pada 1985.

Kerjaya sebagai pendidik sempat dirasainya sebelum bertemu aktivis buruh dan alam sekitar popular, Chico Mendes. Perkenalan dengan Mendes menjadikan Marina memutuskan untuk mengabdikan diri dalam misi menyelamatkan hutan Amazon.

Usaha murninya mendatangkan hasil apabila Marina menjadi wanita termuda pernah dilantik sebagai Senator. Tumpuan utamanya, meneruskan kempen pemuliharaan alam sekitar dan kawasan hutan.

Berkat kesungguhannya, pada 2002, Presiden Luis Inacio Lula da Silva, yang pernah menjadi budak pengilat kasut sebelum bergelar ahli politik, melantik Marina sebagai Menteri Alam Sekitar � tugas yang memberi tanggungjawab besar kepada Marina untuk melindungi Amazon yang juga kawasan hutan terbesar dunia.

Berbekalkan pengalaman luas sebagai aktivis alam sekitar, Marina segera menangani masalah seperti pembalakan, pertanian dan sikap syarikat korporat yang terbabit dalam usaha penerokaan hutan � tugas berat yang sebelum ini tidak berani digalas bekas Menteri portfolio berkenaan.

Baginya, tugas sebagai Menteri bukanlah alasan untuk berpeluk tubuh dan memerhatikan saja kemusnahan pada khazanah berharga Brazil dan dunia itu.

Semangat juangnya sebagai aktivis masih terus mengalir dalam dirinya yang dianggap Marina seharusnya disemarakkan lagi biarpun sudah bergelar Menteri. Atas kesungguhannya itu, Marina dipuji sebagai antara penyebab utama yang memperlahankan kemusnahan Amazon selain membawa dalangnya ke muka pengadilan.

Nama Marina turut harum di persada antarabangsa apabila dinamakan pemenang anugerah Champions of the Earth Prize – penghargaan tertinggi diberikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kejayaan demi kejayaan yang diraihnya juga berdepan suka duka, termasuk laporan mendakwa usaha jahat meneroka hutan Amazon secara haram masih berlaku.

“Usaha memperjuangkan kepentingan alam sekitar amat kompleks. Lebih mudah memperjuangkan kepentingan mereka yang masih hidup sekarang berbanding generasi yang bakal lahir 10 atau 1,000 tahun lagi,” katanya yang amat mengagumi bapa kemerdekaan India, Mahatma Gandhi.

Kata-katanya itu banyak kebenarannya dan tiada siapa sangka ia diucapkan wanita yang pernah melalui episod duka dalam hidup sebagai wanita miskin yang buta huruf dan kini mahu dikenali sebagai pejuang alam sekitar.

Namun, yang pasti, ketika Marina terus bimbangkan masa depan hutan Amazon sebagai khazanah untuk tatapan generasi akan datang, namanya sudah pun tercatat sebagai wira alam sekitar dan bukti wanita gigih Brazil.

PROFIL:

  • Nama asal Marina Silva Vaz de Lima
  • Dilahirkan pada 8 Februari 1958
  • Mampu menulis dan membaca ketika berusia 17 tahun
  • Belajar di Universiti Persekutuan di Acre dan memperoleh ijazah sarjana muda sejarah pada 1985.
  • Dilantik Senator pada 1994
  • Menjadi Setiausaha Alam Sekitar dan Pembangunan parti Pekerja pada 1995-1997
  • Dilantik Menteri Alam Sekitar pada 2002 hingga sekarang
 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s