~NIZ4M : INSIDE MY HEAD~

“BAIK PUNYA BLOG”

Rencana: Bos lelaki atau wanita lebih hebat? April 20, 2008

Filed under: Uncategorized — Urahara Kisuke @ 11:28 pm
Tags:

JIKA diberi pilihan, anda mahu bekerja dengan majikan wanita atau lelaki? Ada yang berpendapat majikan lelaki lebih bagus dan cool berbanding wanita yang selalu mengikut emosi serta cerewet! Benarkah?

Mungkin sebagai wanita, mereka lebih selesa bekerja dengan majikan wanita kerana lebih memahami tetapi ada juga pekerja wanita berasa majikan wanita ada kala lebih memihak kepada pekerja lelaki dan bersikap pilih kasih. Atau mungkin, bos lelaki banyak pula kerenahnya lebih-lebih lagi jika pekerjanya wanita. Ada yang mengatakan majikan lelaki lebih tegas dan tidak ‘beri muka’ malah lebih teruk lagi, ada pula kes salah laku seperti gangguan seksual. Isu menarik bertajuk Bos Lelaki vs Bos Wanita, dibincangkan dalam rancangan Keluarga Di 9 (KD9) bersama Farah Adeeba Mohd Ashraf.

Dua ahli panel, Mohamed Syairoz Mohd Odman, 31, dan Norizad Mohamad Zain, 40, berdebat menegakkan pendirian masing-masing, menjadikan set KD9 panas seketika.

Mohamed yang pernah bekerja dengan dua majikan wanita dan tiga majikan lelaki, berpendirian lelaki adalah majikan terbaik. Menerusi pengalaman, dia berpendapat majikan lelaki lebih fleksibel dan terbuka menerima cadangan orang bawahan berbanding wanita. Majikan lelaki juga lebih memberi sokongan kepada pekerja untuk lebih maju.

Pendapat Mohamed disangkal Norizad. Menurut perunding pemasaran ini, dia lebih selesa bekerja dengan majikan wanita kerana mereka lebih memahami dan teliti. Sebagai wanita siapa lagi yang lebih memahami selain wanita sendiri. Justeru, dia pernah bekerja untuk suatu tempoh agak lama bersama majikan wanita. Pendapat Norizad yang majikan wanita lebih bersikap mendengar dan tempat mengadu, ada benarnya.

Hakikatnya, wanita mempunyai dua tanggungjawab – di pejabat dan di rumah. Sebagai majikan di pejabat, memerlukan mereka membuat keputusan tepat dan cekap manakala di rumah menjadi isteri serta ibu. Malah, setiap kali anak sakit, ibu yang mengambil cuti, setiap kali kad laporan pelajar keluar, ibu juga yang ke sekolah. Di rumah, wanita juga yang terpaksa memasak, mengemas dan mengurus hal rumah tangga lain. Ada juga suami yang kurang memahami, mendesak isteri pulang awal atau suami menggunakan alasan kesibukan isteri untuk melakukan aktiviti tambahan kerana kesepian. Dengan kata lain, majikan wanita beremosi dan tertekan disebabkan lelaki atau suami!

Mohamed berpendapat majikan yang baik perlu bersikap profesional dan tidak membawa masalah di rumah ke pejabat. Jangan menjadikan pekerja sebagai mangsa atau ‘punching back’ meluahkan kemarahan. Jika majikan wanita yang masih bujang, ramai di antara mereka lebih sukar difahami dan ada kala memaksa pekerja mengikut rentak mereka. Kadangkala harapan mereka tinggi menggunung dan segala-galanya mesti sempurna menyebabkan anak buah berasa tertekan dan tidak dapat meningkatkan prestasi kerja mereka.

Sebaliknya ada juga yang berpandangan majikan lelaki lebih mengamalkan sikap asal siap manakala majikan wanita lebih teliti. Sebab itu, wanita dilabelkan cerewet, tegas dan kadangkala agak mengongkong. Malah, kita perlu mengakui dunia ini memang didominasi lelaki sebab itu untuk maju wanita terpaksa menjadi lelaki iaitu mereka perlu lebih agresif dan ada kalanya tidak berhati perut. Mungkin pekerja lebih menghormati majikan sebegini.

Ada juga yang berpendapat sekiranya majikan lelaki garang dan mendesak, ia sifat semula jadi lelaki tetapi sekiranya wanita bersikap sama, ia dianggap majikan kejam dan tidak seiring dengan sifat kewanitaan. Mungkin juga, lelaki berasa keegoaan mereka tercabar dan tidak selesa sekiranya menerima arahan daripada wanita.

Apa pun, tidak semua majikan wanita atau lelaki kurang disenangi. Majikan seharusnya bijak menangani sikap pekerja mereka. Setiap orang ada kerenah masing-masing dan sebagai majikan yang baik dan efisien, mereka perlu bersikap adil dan saksama selain menghormati di antara satu sama lain.

Majikan juga perlu ada garis sempadan dengan pekerja. Jangan terlalu tegas dan tidak juga terlalu mesra kerana mudah disalah erti terutama jika berbeza jantina, hatta boleh menjurus kepada perkara negatif dan pandangan serong orang keliling.


 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s